Maklumat Program
18 Jun 2025 — Jawatankuasa Smart Green Politeknik Balik Pulau (PBU) telah mengadakan lawatan penanda arasan ke Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang, yang diiktiraf sebagai Pusat Konvensyen Hibrid Bertenaga Solar Pertama di Dunia.
Perkongsian Amalan Lestari
Lawatan diketuai oleh Pn. Saw Bee Fong, Pengerusi Smart Green PBU, bersama Pn. Noor Sarena binti Mohd Zahid, Penyelaras EKSA, serta tujuh orang ahli Jawatankuasa Induk Smart Green PBU.
Program dimulakan dengan taklimat oleh Encik Muhammad Jannati bin Alauddin, Eksekutif Perhubungan Awam dan Komunikasi SPICE. Taklimat mengetengahkan amalan lestari dan inisiatif teknologi hijau yang dilaksanakan di pusat konvensyen tersebut, sebelum delegasi meneruskan lawatan tapak.
Meninjau Teknologi Hijau
Antara amalan yang ditinjau ialah sistem pengumpulan air hujan, pengurusan tenaga secara cekap dan penyediaan ruang landskap hijau. Pendedahan ini memberi gambaran tentang penerapan kelestarian dalam pengurusan kemudahan pusat konvensyen.
Memperkukuh Inisiatif Kampus Mampan
Lawatan ini bertujuan menanda aras amalan terbaik dalam pengurusan lestari, memperkukuh jaringan kerjasama serta memperluas idea pelaksanaan teknologi hijau di kampus PBU.
Semoga perkongsian ini memperkasa gerak kerja Smart Green PBU dalam menjayakan inisiatif hijau dan pembangunan lestari, ke arah persekitaran kampus yang mampan, inovatif dan berdaya saing.
